Kes saman pelakon dan pengacara, Neelofa terhadap pemilik blog hiburan, Rotikaya.com atas dakwaan memfitnah, selesai selepas Mahkamah Tinggi semalam merekodkan perintah penghakiman persetujuan.

Peguam Amira Farhana Mohd. Yasin yang mewakili Neelofa memberitahu pemberita, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Aliza Sulaiman merekodkan perintah penghakiman persetujuan itu tanpa sebarang perintah terhadap kos dalam tindakan tersebut.

Syarikat Rotikaya Media Sdn Bhd. selaku defendan yang diwakili peguam Ariff Syukri Abd. Rahman pula mengesahkan, pihak-pihak yang terlibat dalam saman itu telah bersetuju untuk merekodkan penghakiman persetujuan secara baik tanpa sebarang pengakuan terhadap liabiliti.

Dalam prosiding yang berlangsung di kamar hakim di sini, Neelofa dan wakil Rotikaya tidak kelihatan dan hanya diwakili peguam masing-masing.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 29, memfailkan saman itu pada April lalu, berhubung artikel bertajuk, Neelofa digugurkan dari senarai Ikon Wanita Negara? bertarikh 5 Mac lalu.

Pihak plaintif menuntut perintah injunksi, permohonan maaf, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi keterlaluan daripada pihak defendan.

Pada 24 Oktober lalu, Neelofa selaku pihak plaintif dan Rotikaya telah menghadiri proses mediasi di hadapan Timbalan Pendaftar, Nurulizwan Ahmad Zubir yang bertindak sebagai Perantara di Pusat Mediasi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Sementara itu, satu lagi perintah penghakiman persetujuan dalam kes saman Neelofa terhadap OhMyMedia akan direkodkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Daryl Goon Siew Chye pada 21 November ini.

Sumber: Utusan Online