Penyanyi Amir Jahari mengakui isterinya, Kartini Sukiman menjadi punca utama dirinya untuk bangkit semula selepas mengalami kemurungan sejak lima tahun tahun lalu.

Menurut Amir, isterinya banyak memberi kata-kata semangat untuk dia terus bangkit semula dalam industri seni.

"Sebelum ini saya pernah alami tertekan kerana lagu saya kurang mendapat sambutan di samping beberapa masalah lain dan saya juga pernah hilang pedoman seperti orang gila

"Alhamdulillah, isteri saya banyak memberikan sokongan malah dia juga mencadangkan agar saya menubuhkan label sendiri iaitu Sekalo Music Production.

"Dari situ saya bangkit bagi memperjuangkan karya seni saya dan menghasilkan album terbaharu, Siang Dan Malam.

"Saya menterjemahkan semua perasaan dan pengalaman yang ada sepanjang lima tahun lalu menerusi album tersebut untuk berkongsi rasa itu dengan orang ramai," katanya kepada Gempak.

Amir berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya Siang dan Malam, di Dapo Puro, Bukit Puchong, baru-baru ini.

Album Siang dan Malam menampilkan tujuh lagu dan dijual dalam bentuk album fizikal di media sosial miliknya.

Sementara itu, Amir akan muncul dengan showcase sulungnya pada 10 November ini di Live Fact, Damansara.

Tiket konsert berharga RM35 boleh didapati dengan melayari laman Instagram Amir Jahari dan setiap pembelian tiket akan disertakan dengan CD Siang Dan Malam secara percuma.