Juara Gegar Vaganza 3 (GV3), Azharina Azhar mengakui wujud perbuatan khurafat dalam dunia seni demi mendapatkan sesuatu yang dihajati.

Jelas Azharina, dia sendiri pernah berdepan dengan pelbagai situasi menyeramkan dan jatuh sakit disebabka perbuatan orang yang iri hati dan cemburu dengannya.

"Tidak hairan sebenarnya kalau kejadian mistik masih berlaku masa kini. Saya tidak nafikan memang ada.

"Dalam kehidupan harian kita, wujud alam ghaib yang kita tidak nampak dengan mata kasar. Jadi tidak hairanlah sebab saya sendiri pun pernah sakit suatu ketika dahulu disebabkan perkara sebegini.

"Banyak kali saya kena, sebelum berkahwin, semasa hinggalah saya bercerai pun. Sampai sekarang pun masih ada, yang cemburu saya berbisnes, buat macam-macam sebab dengki," katanya kepada Gempak.

Bagi Azharina, kecanggihan teknologi tidak melenyapkan dorongan manusia untuk mendapatkan bantuan alam ghaib.

"Nak jadi penyanyi bukan hanya perlu suara sedap. Semakin canggih teknologi, semakin canggih juga dunia mandrem.

"Terutama apabila bertanding, mustahillah tiada.

"Pernah saya nampak yang bawa rantai, bawa gambar atas pentas, dalam telefon. Saya dan puas tengok!

"Namun, bagi saya, semuanya kuasa Allah. Pokok pangkalnya Allah maha kuasa. Rezeki, kemenangan itu Allah yang tentukan," tambahnya yang baru melancarkan single terbaharu berjudul Lakar Janji.

Lakar Janji merupakan lagu termahal yang pernah dihasilkan sepanjang usia 18 tahun bergelar penyanyi.