Penyanyi rap Alif dan SonaOne mendedahkan terdapat enam versi lagu runut bunyi (OST) filem Polis Evo 2, Sang Saka Biru.

Menurut Alif, enam versi lagu runut bunyi tersebut dibuat hanya dalam masa seminggu.

“Dalam masa seminggu kami berjaya buat enam versi untuk lagu Sang Saka Biru dan semuanya lagu lain-lain.

“Apa yang anda dengar itu adalah yang terpilih. Alhamdulillah, setakat ini ramai yang memberikan maklum balas positif dan kami rasa sangat gembira.

“Memang kena ada aura seperti lagu Polis Evo yang pertama tetapi apa yang kita lakukan, kena ubah sedikit supaya berlainan dan bersesuaian dengan Polis Evo 2,” jelasnya.

Selain Alif dan SonaOne, runut bunyi itu juga turut menampilkan Joe flizzow serta Altimet.

Polis Evo 2 terbitan Astro Shaw, Surya Citra Media (SCM) dan produksi oleh BlackFlag akan ditayangkan di pawagam seluruh nergara pada 22 November ini.

Filem itu juga turut menggabungkan bintang dari Indonesia dan Singapura antaranya Raline Shah dan Hasnul Rahmat.

Manakala bintang lain yang terlibat adalah Shaheizy Sam, Zizan Razak, Erra Fazira, Hairul Azreen, Soffi Jikan, Shafie Naswip dan ramai lagi.