Orang Lain Pergi Melancong, Lelaki Ini Pula Sanggup Korbankan Cuti Tahun Demi 'Mashi'

Hiburan
Orang Lain Pergi Melancong, Lelaki Ini Pula Sanggup Korbankan Cuti Tahun Demi 'Mashi'
Jika ramai pekerja sibuk menghabiskan cuti tahun untuk pergi melancong, lain pula kisahnya seorang lelaki ini yang sanggup meluangkan masa setiap hari menjaga kucingnya yang sedang sakit tua.

Mungkin ia adalah perkara biasa apabila tuan menjaga kucing peliharaan sendiri tapi bayangkan bagaimana kucing yang sudah menjangkau usia 15 tahun memerlukan penjagaan rapi setiap hari.

Insan berhati mulia ini yang dikenali sebagai Shamsul Qamar menyatakan doktor haiwan menasihatinya agar memberi 'ubat' pada kucingnya itu sebagai jalan penyelesaian terbaik.

Bagaimanapun, dia tidak bersetuju kerana 'ubat' yang dimaksudkan adalah racun yang menyebabkan sistem badan kucing itu tidak lagi berfungsi sehingga menemui ajal.

"Doktor memberi nasihat agar meletakkan kucing ini dalam keadaan 'put to sleep' bermaksud mematikannya dengan 'racun' menerusi suntikan. Usianya memang dah tua menjangkau 15 tahun bersama 90 tahun umur manusia tapi saya tidak tergamak melakukannya dalam erti kata lain membunuhnya," katanya kepada Astro Gempak.

Ujarnya, dia cukup menyayangi kucing itu yang diberi nama Mashi yang dijaganya sejak 15 tahun lalu. 

"Kucing ini sakit sejak setahun lalu. Keadaannya semakin lemah, dulu boleh makan tapi sekarang dah kritikal.

"Dia seperti manusia yang sakit tua, mengalami masalah buah pinggang sehingga tak boleh makan dan minum," katanya.

Jelasnya, Mashi masih mempunyai keinginan untuk makan tapi akan menggelupur bila menggigit.

"Mungkin ketahanan badan dia sudah tidak kuat untuk dia makan. Setiap hari dia kena 'drip' atau dimasukkan air untuk terus hidup.

"Ada juga makanan dalam bentuk cecair dimasukkan ke dalam picagari kemudian paksa dia telan. Memang pada usia macam ini dia dah tak boleh melawan," katanya.

Shamsul menyatakan dia pasrah apabila doktor haiwan memberitahu Mashi tidak dapat diselamatkan lagi tapi sebagai manusia yang masih mempunyai sifat perikemanusiaan dan kasih sayang, dia tidak sanggup 'membunuh' kucingnya itu.

Uniknya hubungan dua makhluk Tuhan ini, Shamsul sanggup menghabiskan cuti tahunannya semata-mata mahu menjaga Mashi kerana memikirkan tanggungjawabnya menjaga haiwan itu sehingga tiba masanya dijemput Illahi.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Shamsul Qamar
 

Artikel Berkaitan