TUTUP

"Adakah Itu Petanda Dari Tuhan Untuk Saya Berhenti Menyanyi?" - Misha Omar

Hiburan

Penyanyi popular, Misha Omar menceritakan pengalaman menghadapi cabaran sepanjang tempoh menyiapkan single terbarunya, Sampai Bila.

Menurut Misha, proses pembikinan lagu tersebut telah memakan masa selama dua tahun memandangkan dia telah berhadapan dengan pelbagai dugaan selepas melahirkan cahaya mata sulung, Muhammad Idris Ezzwa.

"Idris dilahirkan dalam tempoh pramatang, dia mengalami pelbagai masalah kesihatan sejak dilahirkan.

"Hati saya sentiasa sayu apabila melihat wayar berselirat di badannya ketika berada di wad hospital, ketika itu, saya tidak pernah putus harapan untuk berdoa supaya dia disembuhkan.

"Saya betul-betul risau dan hampir berputus asa untuk menyanyi sehingga saya terfikir adakah itu petanda dari Tuhan untuk saya berhenti menyanyi.

"Namun begitu, setelah menjalani beberapa peringkat rawatan, Idris telah beransur pulih dan sihat hingga sekarang," ujar Misha.

Misha berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran muzik video serta karaoke video lagu Sampai Bila bertempat di Red Box Plus, Pavilion pada Khamis lalu.

Muzik video Sampai Bila ini telah mula dilancarkan di YouTube pada minggu lalu, ia juga boleh dimuat turun di iTunes dan stream menerusi portal muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, Joox Music dan Spotify.

Artikel Berkaitan