Pakar kecantikan, Tinie atau Amy Nur Tinie, 20, berjaya menewaskan saingannya Jean Lim, 26, seorang model sambilan untuk bergelar Bintang Bliss yang pertama.

Tinie sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 dan tiket penerbangan untuk dua orang ke Paris.

Barisan juri sebulat suara memilih Tinie sebagai juara Bintang Bliss selepas video yang disediakan memenuhi kriteria yang dicari.

Video CSR 'Transformasi Aina' dihasilkan Tinie mendapat pujian juri apabila mesej untuk mendorong orang ramai menjaga penampilan, kesihatan dan fizikal berjaya disampaikan dengan baik.

Ketika pemilihan dilakukan pada pusingan pengadilan terakhir, Pengurus Pemasaran Nestle Bliss, Cheryl Yong berkata, video CSR haruslah menekankan tentang produk dan perlu sentiasa menekankan tentang kebaikan Nestle Bliss.

"Duta seharusnya sentiasa memberi inspirasi kepada orang ramai. Jean tidak menekankan watak Ariel pada videonya, dia sepatutnya memberi inspirasi.

"Tinie pula telah melakukan tugasannya dengan baik, tetapi sayang dia menggunakan Aina sebagai bintang dalam videonya," katanya ketika mengulas tentang tugasan video kedua-dua finalis.

Sementara itu Mentor Kecergasan, Wong Yu Jin berkata Tinie lebih menonjol dari segi transformasi dan sangat tepat dengan slogan Nestle Bliss 'Transformasi Diriku'.

Bagi Mentor Nutrisi, Joanna Soh pula, video CSR dihasilkan Tinie penuh informasi apabila menyatakan Nestle Bliss dibuat dengan bahan-bahan semulajadi tanpa pewarna tiruan dan pengawet serta mesej yang ingin disampaikan mudah diterima penonton.

Program disiarkan secara online di projekbliss.com.my ini dihoskan oleh pelakon popular, Siti Saleha.

Projek Bliss Transformasi Diriku merupakan sebuah program realiti yang membuktikan luaran yang cantik berkait rapat dengan sistem penghadaman yang sihat.