Penyanyi Datuk Jamal Abdilah berbesar hati apabila Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali bakal bermain biola mengiringi persembahannya dengan Datuk M. Nasir dalam Konsert Duo Lagenda.

Konsert Duo Lagenda yang bakal menyaksikan isteri Perdana Menteri itu mempamerkan bakatnya akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 22 Disember ini.

“Saya bangga dan berbesar hati kerana Siti Hasmah dapat bersama-sama dalam konsert ini.

“Persembahan bersama Siti Hasmah adalah pada malam ketiga yang turut dihadiri oleh tetamu-tetamu kenamaan lain.

“Siti Hasmah akan bermain biola untuk lagu Gubahanku, dendangan saya bersama M. Nasir yang didendangkan secara berduet,” katanya.

Jamal ditemui bersama M. Nasir ketika sidang media Konsert Duo Lagenda di Istana Budaya semalam.

Tambahnya, persembahan bersama Siti Hasmah diadakan bagi mengutip dana untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

Konsert yang pertama kali menggandingkan Jamal dan M. Nasir itu diadakan selama empat malam berturut-turut bermula 20 hingga 23 Disember depan.

Sementara itu, mengulas mengenai gandingannya bersama M. Nasir, Jamal memberitahu ia adalah impian yang lama telah disimpan.

“Sebenarnya saya sudah lama menyimpan impian untuk mengadakan konsert bersamanya kerana dia bukan sekadar lagenda tetapi bakat yang luar biasanya.

“Namun disebabkan pelbagai kekangan sebelum ini, baru kini kami dapat disatukan dalam konsert ini,” katanya lagi.

Bagi maklumat lanjut dan tempahan tiket, boleh layari www.ilassotickets.com atau menghubungi talian 03-21706333.