Penyanyi Datuk Jamal Abdillah mendedahkan dia masih belum dikurniakan cahaya mata bersama isterinya, Zai Izzati Khairuddin, 24, selepas mendirikan rumah tangga lebih setahun lalu.

Jamal memberitahu Zai telah keguguran hingga tiga kali dan kini masih menerima rawatan untuk menguatkan Rahim di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“Kami belum ada rezeki untuk menimang cahaya mata lagi kerana isteri sudah tiga kali keguguran.

“Kini isteri masih menerima rawatan bagi menguatkan rahimnya di sebuah hospital,” katanya ketika ditemui sidang media Konsert Duo Lagenda di Istana Budaya semalam.

Raja Pop itu dan Zai bernikah di Ipoh, Perak pada 1 April tahun lalu.

Mengulas mengenai kehidupannya kini, pelantun lagu Azura itu memberitahu hidupnya lebih teratur dan bahagia.

“Sama seperti orang lain juga, hidup saya kini lebih tenang dan semuanya teratur.

“Dia pun ada hadir bersama saya hari ini tetapi duduk jauh kerana belum biasa ke majlis hiburan begini,” katanya lagi.

Jamal bakal bergandingan dengan Datuk M.Nasir di dalam Konsert Duo Lagenda yang diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya selama empat malam berturut-turut bermula 20 hingga 23 Disember depan.