Bekas juara sebanyak dua kali iaitu kumpulan Bocey mengakui cabaran bersaing pada program Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) malam ini pastinya lebih besar dengan penyertaan pelawak baru.

Salah seorang anggota kumpulan itu, Abam memberitahu mereka sendiri perlu memperbaiki bahan jenaka mereka agar dapat memberikan persembahan yang lebih menghiburkan.

"Kami tidak boleh nak 'makan' terus peserta lain kerana kami sendiri kena memperbaharui lawak sendiri.

"Kami kena buat sesuatu yang baru. Apabila penonton dah biasa tengok persembahan kami, jadi cabarannya lebih tinggi," katanya kepada Astro Gempak.

Ujarnya, peserta baru yang turut bertanding kali ini tidak mustahil mampu memberi saingan yang kuat pada peserta lain.

"Persembahan peserta dari program Gegar Lawak dan dari Indonesia yang tidak pernah penonton tengok mungkin boleh membawa satu keajaiban atau magis untuk semua orang suka pada mereka," katanya.

Meskipun ini adalah pengalaman ketiga buat Bocey menyertai program ini tetapi mereka tetap beranggapan persaingan antara peserta MLM 2018 begitu hebat.

"Nak cakap keyakinan untuk menang sebanyak 50 peratus tak juga. Semua peserta pastinya meletakkan harapan yang tinggi bila masuk pertandingan sebegini.

"Kalau boleh biar kami menang buat kali ketiga. Kalau ada rezeki, insha Allah tapi kami tak buat persembahan sewenang-wenangnya, sesuka hati atau macam nak tak nak.

"Sebaliknya, kami buat persembahan dengan bersungguh-sungguh supaya apabila kami ke final, kami adalah peserta yang layak dan bukan sebab nama. Kami mahu tukar persepsi itu," katanya.

Abam berkata, faktor peningkatan dari aspek persembahan pada setiap minggu ke minggu sangat penting buat Bocey untuk terus bersaing.

"Dua kali menang memang memberi impak besar pada kami. Apabila masuk kali ketiga, jika kami tak boleh bertahan sehingga ke final tolak bab menang atau kalah, itu adalah masalah bagi kami.

"Ini bakal menimbulkan persoalan adakah kami tidak relevan lagi atau tidak berupaya pergi ke final untuk kekalkan kedudukan. Apapun, sasaran kami adalah masuk final," katanya.

Seramai 14 peserta bertanding pada MLM 2018 kali ini termasuk kumpulan Joras, Abata, Kiut, Masin, Abioso, Zero, Chilok, Kiut, Abata, 2B, Taman, Shiro dan Puteh.

Jangan lupa menyaksikan MLM 2018 bermula 2 November ini jam 10 malam menerusi Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124), Astro GO dan ‘on demand’.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @abam_bocik