Bintang kelahiran program realiti Akademi Fantasia, Marsha Milan akan terbang ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadah umrah buat kali kedua bersama suami dan keluarganya.

Menurut Marsha, antara doa yang akan dititipkan ketika berada di sana adalah keinginannya untuk mempunyai cahaya mata.

"Sekiranya doa Marsha diterima, semestinya menginginkan rezeki anak. Namun, itu bukan sebab utama mengapa Marsha ke tanah suci.

"Marsha menganggap semua ini adalah rezeki serta merupakan masa yang terbaik untuk mendekatkan diri dengan-Nya bersama ahli keluarga," katanya.

Marsha ditemui ketika Majlis Tayangan Filem 7UJUH di E-Curve, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Marsha atau nama sebenarnya, Marsha Milan Londoh, 33, mengaku berasa gementar dan takut walaupun ini bukan kali pertama menjejakkan kaki di sana.

"Masa pertama kali ke sana ketika itu Marsha masih naif.

"Untuk kali kedua ini, Marsha sudah mengetahui apa yang perlu dan tidak perlu dibuat ketika di sana.

"Memandangkan berada di tanah suci, Marsha perlu menjaga tatatertib dan perbualan untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku," katanya kepada Gempak.

Dalam perkembangan lain, Marsha sedang giat mempromosikan filem seram-thriller, 7UJUH yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 8 November 2018.

Selain Marsha, pelakon lain yang turut menjayakan 7UJUH adalah Aeril Zafril, Johan As'ari, Pekin Ibrahim, Riz Amin, Siti Saleha, Cristina Suzanne, Deedee Nash, Wan Hanafi, Faizal Hussein dan ramai lagi.