Pelakon Johan As'ari mengakui dia lebih berhati-hati untuk berkongsi dengan semua pihak mengenai hubungan percintaannya.

Menurut Johan, dia sedang berkawan dengan seorang wanita dan tidak menginginkan pengalaman lalu berulang kembali.

"Pengalaman lalu membuatkan saya lebih berhati-hati apabila bercakap mengenai soal hati dan perasaan secara terbuka.

"Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Tunggulah, apabila kami sudah pasti menjalin hubungan yang serius, barulah saya akan berkongsi perkara itu," katanya.

Pelakon itu ditemui ketika Majlis Tayangan Filem 7UJUH di E-Curve, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Johan atau nama sebenarnya Johan Ariff As'ari berkata, dia tidak malu untuk berkongsi wanita itu merupakan seorang usahawan ternakan lembu.

"Dia bukanlah dari kalangan industri seni kita. Dia merupakan seorang usahawan ternakan lembu di utara tanah air dan saya tidak malu untuk berkongsi," katanya kepada Gempak.

Dalam perkembangan lain, Johan sedang giat mempromosikan filem seram-thriller, 7UJUH yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 8 November 2018.

Selain Johan, pelakon lain yang turut menjayakan 7UJUH adalah Aeril Zafril, Pekin Ibrahim, Riz Amin, Siti Saleha, Marsha Milan, Cristina Suzanne, Deedee Nash, Wan Hanafi, Faizal Hussein dan ramai lagi.