Ekoran luahan kecewa pelakon veteran, Jalil Hamid terhadap bayaran murah untuk berlakon drama, dia akui tidak menyesal.

Jelas Jalil, dia sedia berdepan pelbagai kemungkinan selepas mengeluarkan kenyataan terbabit.

"Saya sedia terima kesan akibat kenyataan jujur itu sebab saya tidak mahu perkara sedemikian berulang tak kira kepada diri sendiri atau pelakon lain.

"Sudah sampai masa industri ini saling bekerjasama dan beri peluang sama rasa kepada semua pelakon terutama artis veteran.

"Jadi saya sarankan agar pelakon veteran disediakan slot atau watak dalam drama untuk memberikan peluang mereka meneruskan kelangsungan hidup.

"Boleh pilih secara bergilir-gilir supaya semua dapat peluang sama rata.

"Setida-tidaknya, sebelum mereka tiada kita ada bantu meringankan beban dan membahagiakan mereka saat-saat akhir," katanya ketika ditemui pada sidang media Anugerah Skrin 2018 baru-baru ini.

Jalil sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan terkilan dengan bayaran RM1,500 untuk melakonkan 16 babak dalam sebuah telefilem.

Pelakon Lelaki Terbaik Anugarah Skrin 1995 itu membuka mata semua pihak dan artis lain untuk berkongsi luahan rasa masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Anugerah Skrin 2018 mencalonkan filem lakonannya, Bisik Pada Langit sebagai finalis yang akan berentap pada malam esok.

Anugerah Skrin 2018 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).