Pelakon Elizad Sharifuddin akui sedikit terkilan dengan sikap segelintir individu yang asyik bertanyakan soalan sensitif terutama soal anak.

Kata Elizad, dia sendiri tiada jawapan untuk soalan sedemikian.

"Ada hikmah selepas melalui pembedahan membuang ketumbuhan baru-baru ini, orang sudah berhenti bertanya soalan mengenai anak.

"Jujur, saya pantang dengan soalan-soalan yang saya sendiri tiada jawapan. Sepertinya mempersoalkan urusan Tuhan.

"Jadi, saya harap orang peka dengan sensitiviti dan berhenti tanya soalan yang saya sendiri tiada jawapan," katanya yang ditemui pada sidang media Anugerah Skrin 2018 baru-baru ini.

Refleksi kepada dirinya sendiri, tambah Elizad sepanjang tempoh membesar dia dididik untuk beradab apabila bercakap dan dirinya diasuh untuk tidak bertanya soalan sensitif kepada orang lain.

Dalam perkembangan sama, Elizad dinasihatkan untuk berehat selama tempoh tiga bulan selepas pembedahan.

"Namun, disebabkan saya tak boleh duduk diam saya ambil keputusan untuk bekerja selepas sebulan berehat.

"Suami asalnya tidak setuju tetapi dia sendiri bukan suka memaksa, jadi dia izinkan saya keluar bekerja," tambahnya.

Elizad tercalon menerusi drama Tulus Cinta untuk Anugerah Skrin 2018.

Anugerah Skrin 2018 akan berlangsung pada Jumaat ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).