Pelakon Nad Zainal mendedahkan dia terpaksa meninggalkan tabiat meminum air berkarbonat demi menjaga kesihatan tubuh badannya.

Malah, itu juga menjadi rahsia Nad semakin langsing dan cantik sekarang.

"Daripada kecil memang saya 'hantu' air berkarbonat!

"Harus diakui dulu saya mengalami masalah kulit terutamanya jerawat tetapi apabila mengurangkan pengambilan air berkarbonat saya dapat rasa perubahan itu.

"Kulit saya bertambah sihat secara semula jadi. Kemudiannya, saya mengehadkan pengambilan makanan bergoreng termasuk telur dan coklat.

"Inilah usaha yang boleh saya lakukan jika tidak mahu melabur besar untuk mendapatkan rawatan yang mahal-mahal," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Anugerah Skrin 2018 baru-baru ini.

Dalam pada itu, dua drama lakonannya, Dosa Perempuan dan Fatonah Azali tercalon untuk Anugerah Skrin 2018 tahun ini.

"Terserah pada rezeki sebenarnya sebab semua drama yang tercalon tahun ini mempunyai kekuatan sendiri. Susah nak ramal," tambahnya.

Anugerah Skrin 2018 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Jumaat ini.