Filem PASKAL The Movie arahan Adrian Teh telah menerima kutipan lebih RM26.1 juta dalam tempoh 28 hari tayangan. Ia berjaya membuktikan filem berbentuk kenegaraan sebegini mampu menarik minat penonton di luar sana.

Dalam pada itu, filem yang mengangkat pasukan unit khas dalam organisasi TLDM atau lebih dikenali sebagai Pasukan Khas Laut (PASKAL) ini juga dilihat mampu menyuntik semangat cintakan negara dan lebih menarik berjaya mendorong lebih ramai anak bangsa di luar sana untuk menyertai pasukan unit khas ini.

Terbaru, menerusi laporan pengambilan perajurit muda TLDM di negeri Kelantan meningkat sebanyak 38% (lalu 510 dan terkini 824), manakala di negeri Pulau Pinang peningkatan sebanyak 40.7% (lalu 427
dan terkini 601).

Panglima Tentera Laut Diraja (TLDM) , Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin menyifatkan peningkatan drastik sebanyak 40% yang hadir untuk pemilihan bagi pengambilan perajurit muda TLDM adalah selepas kehadiran filem PASKAL The Movie.

Beliau juga amat berpuas hati dengan sentuhan pengarahnya, Adrian Teh kerana berjaya menghasilkan filem itu, setelah 42 tahun berkhidmat dengan TLDM.

Bukan sahaja dipuji ramai penonton di tanah air, malah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut memuji aksi yang dipamerkan dalam filem ini selepas berkenan berangkat ke tayangan khas PASKAL The Movie.

Baginda turut berharap agar PASKAL The Movie mempunyai kesinambungan kedua pada masa akan datang memandangkan aksi dan pendedahan mengenai PASKAL jarang sekali didedahkan.

Lebih istimewa Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik telah menonton filem berdurasi 115 minit ini menyarankan ia boleh dijadikan bahan mengajar di sekolah kerana ia sebuah filem yang baik untuk dijadikan contoh untuk di paparkan kepada anak-anak.

Lebih membanggakan PASKAL The Movie turun ditonton oleh pelakon antarabangsa; mereka ialah aktor popular Hong Kong, Eric Tsang dan selebriti kelahiran Malaysia Tan Sri Michelle Yeoh yang turut memuji
filem ini.

PASKAL The Movie menampilkan barisan pelakon seperti Hairul Azreen, Ammar Alfian, Taufik Hanafi, Hafizul Kamal, Theeban G, Henley Hii, Gambit Saifullah, Namron, Amerul Affendi dan Jasmin Suraya.

Filem ini masih rancak ditayangkan di Malaysia dan Singapura.