Gelagat peserta Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Hetty Sarlene di segmen Ada Lagu Ada Lagi konsert malam tadi mencuri perhatian ramai.

Tindakan Hetty yang pada awalnya yakin melangkah keluar biarpun namanya belum disebutkan mengundang cakap-cakap netizen.

Ada yang mengkritik dan mengecam Hetty, ada juga yang terhibur dan menyifatkan 'keyakinan' Hetty sebagai sesuatu yang mencuit hati.

Usai konsert mingguan GV5 malam tadi, Gempak bertemu dengan Hetty untuk mendapatkan jawapan.

"Saya sebenarnya tidak sihat. Dua hari sebelum konsert, saya diserang demam... Saya sempat mendapatkan rawatan serta suntikan untuk kebahkan demam. Saya juga makan ubat.

"Sebenarnya, ketika segmen Ada Lagu Ada Lagi itu, saya bukan 'confident'. Dalam fikiran saya, lagu tersebut ada dalam 'wishlist' saya...

"Saya keliru kerana Zamani tak muncul di hadapan bersama peserta lain. Apabila muncul sahaja lagu terakhir, saya ingatkan itu lagu saya, kerana saya seorang sahaja di situ.

"Ketika itu, saya sudah tak boleh fikir, mungkin kesan ubat akibat demam dan sebagainya, saya terus meluru ke hadapan biar pun nama saya belum diumumkan.

"Selepas itu, saya lihat ramai penonton di bawah seperti menahan saya. Saya keliru, dalam hati berkata, apa sebenarnya yang berlaku? Seterusnya, nama saya pun diumumkan," kata Hetty.

Konsert GV5 menyaksikan Zamani berada di tangga tercorot dengan markah kosong daripada semua juri apabila gagal menyanyikan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta dendangan asal The Flybaits.

Bagaimanapun, Datuk Seri Aliff Syukri selaku penaja bertindak pantas menyelamatkan Zamani daripada penyingkiran dengan menggunakan kuasa imunitinya.

Lagu yang bakal dinyanyikan Zamani pula akan diumumkan oleh tenaga produksi dalam tempoh terdekat.

Bersiaran selama lapan minggu, GV5 boleh ditayangkankan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.

Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.