Buat pertama kalinya, penyanyi Dia Fadila berjaya mengungguli kedudukan pertama di Konsert Gegar Vaganza musim kelima (GV5) malam tadi.

Dia menerima markah tertinggi sebanyak 77.2 peratus sekaligus menewaskan Maya Ruslee dan Noryn Aziz yang berada di tempat kedua dan ketiga.

Bagaimanapun, konsert GV5 malam tadi menyaksikan Zamani hampir tersingkir dengan meraih sebanyak kosong markah kerana berdepan dengan masalah kesihatan.

Namun, Zamani berjaya diselamatkan oleh penaja GV5, Datuk Seri Aliff Syukri melalui imuniti yang diberikan kepadanya.

Bertemakan ‘Lama Tak Dengar’, hanya sembilan peserta sahaja lagi yang bertahan dan bersaing di konsert akan datang.

Pemarkahan peserta diberikan sepenuhnya oleh juri tetap, Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim serta Datuk AC Mizal yang hadir sebagai juri jemputan minggu ini.

Di bawah merupakan kedudukan dan markah keseluruhan bintang GV5 mengikut urutan serta komen juri.

1.Dia Fadila 77.2% (Menghitung Hari)

Datuk Khadijah Ibrahim - Kamu telah lakukan persembahan yang terbaik dan benar-benar mengambil komen saya yang lalu untuk perbaikinya.

2.Maya Ruslee 70.8% (Sekadar Di Pinggiran)

Datuk AC Mizal - Awak punya improvement makin dahsyat. Apa yang awak buat malam ni terbaik.


3.Noryn Aziz 64.7% (One Night Only)

Datuk Ramli MS - Saya suka persembahan awak selepas turun dari platform itu sahaja, selepas itu sudah kurang. Tapi tenaga kamu bagus dan saya suka.


4.Forteen 63.9% (Hatiku Luka Lagi)

Datuk Ramli MS - Dah pandai meniaga ya sekarang. Cuma Izzue dan Amir kena banyak polish lagi.

5.Amelina 60.5% (Pelangi Petang)

Datuk AC Mizal - Masa duduk dengan tenang, suara awak memang merdu tapi bila dah mula berdiri tu, suara sudah berubah pula. Mungkin perlu lebih kawal sedikit emosi ketika menyanyi.

6.Billy Zulkarnain 56.5% (Antara Anyer Dan Jakarta)

Datuk Khadijah Ibrahim - Sangat bagus dan saya suka susunan muzik kamu. Ia sesuatu berlainan.


7.Farawahida 56% (Kau Mengubah Segalanya)

Datuk Khadijah Ibrahim - Vokal yang terbaik. Cuma persembahan lagu balada tak semestinya berdiri di satu tempat sahaja. Saya suka part yang diubah. Itu yang kita mahu.

8.Hetty Sarlene 51.5% (Mawar Putih Untuk Mama)

Datuk Ramli MS - Teknikal dan note agak teruk. Bagaimanapun nyanyian terlalu emosianal kerana sepatutnya awak perlu lebih profesional.

9.Zamani 0% (Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta)

Datuk AC Mizal - Kamu penyanyi lagenda yang berani meskipun mempunyai masalah kesihatan namun tetap menaiki pentas.

Bersiaran selama lapan minggu, GV5 boleh ditayangkankan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.

Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.