Penyanyi baru, Khai Bahar membuat luahan hati setelah menerima kritikan berikutan kenyataannya mengenai tekak berdarah baru-baru ini.

Khai ketika dihubungi Astro Gempak berkata, dia sedikit terkilan apabila ada pihak yang terus membuat tanggapan negatif dan memburukkan namanya tanpa mengetahui cerita sebenar.

“Sedih juga baca bila tahu ada orang yang tak puas hati dengan kita, biasalah tak semua orang suka kita dan itu memang adat bila dah masuk dalam industri.

“Saya tak kacau orang pun, saya masuk industri sebab nak menyanyi dan tolong keluarga. Saya tak minta pun nak jadi popular.

“Saya akui bukan penyanyi profesional, saya mula menyanyi di aplikasi Smule hanya untuk suka-suka.

“Secara jujur saya sendiri pun terkejut boleh sampai ke tahap macam ni. Ini baru dugaan kecil, akan datang kita tak tahu, bila fikirkan keluarga, saya kuatkan semangat,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai media sosial, Khai juga memberitahu dia hanya mempunyai akaun Instagram dan Facebook sahaja.

“Saya tak ada Twitter, nak guna Twitter pun saya tak pandai apatah lagi akaun tersebut.

“Saya dapat tahu mengenai akaun Twitter palsu itu pun melalui kawan saya. Dia yang beritahu ada beberapa pihak tidak puas hati dan mendakwa saya telah ‘sound’ mereka dengan ayat yang kasar menerusi DM (Direct Message) Twitter itu.

"Waktu itu memang terkejut, saya terus jelaskan keadaan sebenar di Instagram dan peminat saya juga telah mengambil tindakan terhadap akaun palsu itu.

“Hari ini (Khamis) pemilik akaun palsu itu telah memohon maaf dan berjanji untuk memadamkan Twitter tersebut,” jelasnya.