Penyanyi muda, Ben Ladin berhasrat untuk melibatkan diri dalam bidang pengacaraan jika berpeluang untuk melakukannya.

Ben atau nama sebenarnya Mohd Ben Ladin Bin Munshi Shaihan, 17, berkata mengacarakan sebuah program kanak-kanak di sebuah stesen televisyen tempatan beberapa tahun lalu telah mencetuskan minatnya dalam bidang tersebut.

"Saya amat meminati bidang pengacaraan, jika diberi peluang pasti saya akan cuba.

"Saya pernah mengacarakan sebuah program kanak-kanak beberapa tahun lepas, dari situ saya berasa yakin untuk terus belajar dan menggilap bakat pengacaraan saya di masa akan datang.

"Buat masa ini, fokus saya adalah dalam bidang nyanyian sahaja, mungkin belum ada rezeki untuk menceburi bidang lain," kata Ben kepada Gempak.

Dalam perkembangan lain, Ben sedang sibuk memenuhi undangan persembahan dan mempromosikan single Hikayat Benladin di seluruh Malaysia.