Stesen televisyen berbayar, Astro mengambil inisiatif melancarkan jenama baharu, Iman bersempena kedatangan bulan Ramadan.

Program Iman yang mengenengahkan kandungan Islamik menampilkan pendidikan asas merangkumi Fardhu Ain, pendidikan akhlak, doa dan sebagainya mensasarkan kanak-kanak seawal usia empat tahun.

Menurut Penolong Naib Presiden Kandungan GenNext Astro, Yasmin Yahaya, Iman menggunakan elemen Edutainment yang mampu menarik perhatian kanak-kanak untuk mengenali Islam dengan lebih mendalam.

Iman berkonsepkan pembelajaran dan pengajaran agama Islam yang mampu memberi mesej lebih mudah dan bersesuaian semua lapisan masyarakat.

“Ia turut menyelitkan elemen hiburan dan pendidikan juga berlandaskan tata susila agama yang mampu menjadi tarikan kepada kanak-kanak,” katanya ketika majlis pelancaran Iman di The Royale Chulan Hotel, Kuala Lumpur.

Yasmin berkata, pihak Astro turut menggunakan khidmat mereka yang pakar dalam bidang agama untuk memantau setiap isi kandungan yang dibawakan.

“Untuk mengelakkan kekeliruan umum terutamanya kanak-kanak mengenai pembelajaran asas Islam, pihak Astro telah mendapatkan nasihat daripada mereka beberapa pakar agama selain ustaz supaya isi kandungan tidak lari daripada yang asal,” katanya.

Antara program yang bakal berada di bawah jenama Iman ialah drama pendidikan Islam kanak-kanak iaitu I-Kids yang mengupaskan perkara-perkara asas berkenaan Fardhu Ain dan nilai-niali murni yang harus diamalkan dalam kehidupan seharian.

Ianya bakal menampilkan pelakon Amy Mastura, Sari Yanti, Nazrief Nazri, Rykarl Iskandar, Wafiy, Mia Sara, Qistina Raisah, Danish Hazriq dan Baby Sofea yang diarahkan oleh Bade haji Azmi dan Nizam Zakaria serta kemunculan istimewa Nasir Bilal Khan dan Erra Fazira.

Bekas peserta Pencetus Ummah 2014, PU Yeop turut muncul dalam I-Kids yang memainkan peranan membimbing kanak-kanak mempelajari keindahan agama Islam.

Selain I-Kids, Iman turut muncul dengan program-program hebat seperti Puasa oh Puasa, Upin & Ipin Ramadan, Chopp, Ya Ustaz Ramadan, Ummi Ceritalah Pada Kami dan banyak lagi.

Iman turut menaplikasikan pembelajaran secara menyeluruh menerusi fungsi butang merah atau Red Button di saluran Astro Ceria (611) yang memberi akses mudah kepada kanak-kanak untuk membaca, menghafal dan mempraktikkan doa-doa harian.

Jangan lupa untuk menonton program-program menarik Iman setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 6 petang, di saluran Astro Ceria (611) serta drama I-Kids yang akan disiarkan setiap hari Rabu hingga Jumaat bermula jam 6.30 petang di saluran Astro Ceria (611) dan Astro Oasis (106).

Layari www.isooka.com yang mengeluarkan siri barangan eksklusif seperti telekung dan sejadah khas untuk kanak-kanak di rumah.

Untuk maklumat lanjut mengenai Iman, layari www.astro.com.my/ceria