Pelakon dan usahawan Fizo Omar mengakui dia tidak menghalang anak perempuannya, Wan Maryam untuk melibatkan diri dalam bidang seni.

Pemilik nama sebenar Wan Hafizol Wan Omar berkata selepas beberapa keping foto Maryam atau lebih popular dipanggil Cik Yam tular, anaknya telah menerima beberapa tawaran menjadi model cilik.

"Cik Yam ada menerima beberapa tawaran selepas kes fotonya tular beberapa hari lepas.

"Jika bersesuaian dengan Cik Yam, saya akan mempertimbangkannya. Saya menerima rezeki yang telah ditentukan untuknya," katanya.

Fizo ditemui di Majlis Pra Pelancaran Media House Entertainment (MHE) di Wisma Trax, Jalan Chan Sow Lin kemarin.

Meskipun begitu, Fizo tetap menginginkan Cik Yam menceburi bidang perniagaan sebagai asas.

"Jika ditanya kepada saya, semestinya menginginkan dia menjadi seorang usahawan yang berjaya suatu hari nanti," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Fizo bakal memulakan penggambaran dua buah drama selepas berehat dari berlakon selama empat tahun.