Pelakon Nad Zainal mendedahkan dia bakal memulakan kelas bahasa Korea tidak lama lagi.

Jelas Nad, 28, dia tergerak hati untuk mempelajari bahasa tersebut demi memudahkan komunikasinya apabila melancong kelak.

"Saya memang suka menonton drama Korea sejak zaman Winter Sonata lagi.

"Jadi, secara tidak langsung saya menanam azam untuk bercakap bahasa Korea. Bukan nak buat album pun, sekadar memudahkan komunikasi apabila melancong nanti.

"Kebetulan ada kawan rapat saya baru pulang dari University Seoul, Korea dan bersetuju untuk mengajar saya mempelajari bahasa baru itu," katanya kepada Gempak.

Nad yang ditemui pada sidang media Anugerah Skrin 2018 baru-baru ini menambah, skil berbahasa Korea boleh membuka peluang untuk mencuba nasib dalam industri hiburan negara itu.

"Sebenarnya ramai produser dari Korea mencari wajah orang asing yang mampu bercakap bahasa Korea.

"Terutamanya untuk watak pelakon pembantu. Jadi, apa salahnya kalau tiba-tiba rezeki saya berlakon drama Korea pula," tambahnya.

Sementara itu, menerusi Anugerah Skrin 2018, Nad tercalon menerusi drama Dosa Perempuan dan Fatonah Azali.