Penyanyi Deja Moss sah bercerai talak satu dengan pasangannya, Azfendy Azzuddin, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Hulu Klang, semalam.

Pemilik nama sebenar Sharifah Hadijah Wan Mos, 45, meminta agar mendoakan yang terbaik untuk kehidupannya selepas ini.

“Alhamdulillah, lafaz tadi berjalan lancar.

“Doakan yang baik-baik untuk saya bagi mengharungi kehidupan baru dan bergelar ‘single’,”katanya.

Terdahulu, Azfendy, 39, melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie Noranizan Mohd Sufian selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan plaintif (Azfendy) untuk bercerai secara baik.

Ia mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang difailkan pada 5 Mac lalu.

Deja dan Azfendy berkahwin pada 30 Ogos 2008 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Sumber: Harian Metro