Pelakon popular zaman 80-an, Aman Shah menyatakan pandangannya terhadap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar memberi fokus pada isu lebih besar seperti menaik taraf perkhidmatan hospital dan pusat kesihatan kerajaan di seluruh negara.

Merujuk pada status terkininya yang dimuat naik di media sosial Facebooknya, dia memberi saranan pada kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian untuk rakyat tidak dibebani kos perubatan yang tinggi termasuk hospital membekalkan ubatan yang berkualiti.

"Kalau mampu kepada rakyat berpendapatan RM4,000.00 ke bawah tidak dikenakan apa-apa bayaran," katanya.



Ujarnya, isu tersebut perlu lebih diberi perhatian daripada isu merokok yang memberi kesan pada orang ramai.

"Kononnya orang merokok merosakkan orang yang tidak merokok. Adik beradik saya 7 orang lelaki. Semuanya merokok. Emak saya tak merokok meninggal di usia 96 tahun," katanya.

Dalam laporan media sebelum ini, KKM mewartakan semua premis makanan di seluruh negara sebagai kawasan larang merokok berkuatkuasa mulai 1 Januari 2019.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: fedhealth.co.za