Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjemput orang ramai untuk sama-sama menonton filem PASKAL The Movie bersama dengannya pada hari Khamis ini.

Menerusi entri di Instagram, Saddiq mengakui sebagai seorang lepasan pelajar Maktab Tentera Diraja, dia terpanggil untuk menonton filem ini selepas ramai yang memperkatakan mengenai PASKAL.

"JOM TENGOK PASKAL BERSAMA SAYA & ARMADA!

"Selaku lepasan pelajar Maktab Tentera Diraja (RMC), sudah pastilah filem mengenai ketenteraan amat dekat di hati saya.

JOM TENGOK PASKAL BERSAMA SAYA & ARMADA! Selaku lepasan pelajar Maktab Tentera Diraja (RMC), sudah pastilah filem mengenai ketenteraan amat dekat di hati saya. Lebih-lebih lagi ramai yang memperkatakan filem PASKAL ini mengangkat nilai perjuangan, keberanian dan persahabatan untuk pengajaran bersama. Justeru, Armada BERSATU ingin mengajak anda semua untuk sama-sama menonton karya hebat ini! Armada payung semua. (FREE) :-) Butiran program adalah seperti berikut; Tarikh: 25 Oktober 2018 Masa: 8 malam Tempat: GSC, Nu Sentral Ayuh ramai-ramai memeriahkan sesi tayangan ini. Dengar kata ada cabutan bertuah dan 'kejutan' istimewa buat para penonton. Daftar kehadiran anda, link di profile! #YouthPower #ArmadaPaskal

A post shared by Syed Saddiq (@syedsaddiq) on


"Lebih-lebih lagi ramai yang memperkatakan filem PASKAL ini mengangkat nilai perjuangan, keberanian dan persahabatan untuk pengajaran bersama.

"Justeru, Armada BERSATU ingin mengajak anda semua untuk sama-sama menonton karya hebat ini! Armada payung semua. (FREE). Butiran program adalah seperti berikut iaitu pada 25 Oktober 2018 pada pukul 8 malam di GSC, Nu Sentral.

"Ayuh ramai-ramai memeriahkan sesi tayangan ini. Dengar kata ada cabutan bertuah dan 'kejutan' istimewa buat para penonton," tulisnya.

Memulakan tayangan rasmi pada 27 September lalu, filem ini mendapat penerimaan di luar jangkaan daripada penonton apabila meraih kutipan sebanyak RM22 juta dalam 18 hari tayangan.

Filem PASKAL The Movie yang diterbitkan oleh Asian Tropical Films, GSC, Multimedia Entertainment, Granatum Ventures dan Astro Shaw ini telah menjadi bualan hangat rakyat Malaysia.

PASKAL The Movie berkisarkan mengenai kisah kejayaan anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 dan misi merampas kapal dagang daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Diinspirasikan dari kisah benar, filem ini dibintangi oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Theeban G, Henley Hii, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.