Penyanyi Ziana Zain akui kehidupannya kini lebih bahagia disamping anak-anak selepas dia dan suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, sah bercerai pada 12 Julai lalu.

Pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain, 50, berkata dia kini mahu fokus pada kerjaya dan juga membesarkan empat orang anaknya.

“Alhamdulilah kehidupan saya masih diteruskan seperti biasa dengan menguruskan anak-anak serta lebih fokus pada karier nyanyian.

“Saya bersyukur kerana anak-anak adalah kekuatan saya sekarang. Lihat mereka gembira saya bahagia,” katanya kepada Gempak.

Ziana ditemui ketika majlis pra pelancaran Media House Entertainment (MHE), Wisma Trax, pada Rabu.

Ziana dan Armin bercerai talak satu selepas kemelut rumah tangganya diketahui umum sejak tahun lalu.

Apabila ditanya adakah terdapat mana-mana lelaki yang cuba mengambil kesempatan mendekati dirinya, jawab pelantun lagu Berpisah Jua itu bukan mudah untuknya menerima seseorang di dalam hatinya.

“Alhamdulilah tiada siapa yang berani mendekati saya mungkin kerana muka saya yang garang.

“Lagipun saya bukan seseorang yang mudah untuk didekati terutama lelaki.

“Saya juga bukan seorang yang mudah untuk buka hati saya pada sesiapa,” luahnya lagi.

Hasil perkahwinan mereka sejak 9 Mei 1998, pasangan itu telah dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.