Filem Dukun bersaing dalam 5 kategori termasuk anugerah Filem Terbaik pada Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2018 kali ini.

Pengarah filem itu, Dain Said turut tercalon dalam kategori Pengarah Terbaik selain Pelakon Wanita Terbaik menerusi Datin Paduka Umie Aida, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Faizal Hussein) dan Lakon Layar Terbaik (Huzir Sulaiman).

Filem Bisik Pada Langit pula meraih 3 kategori iaitu Pelakon Lelaki Terbaik (Jalil Hamid), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Ummi Nazeera) dan Lakon Layar Terbaik (Maizura Ederis bersama Sofia J Rhyland).

Pelakon hebat, Allahyarham Rab Khalid turut tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Hantu Kak Limah manakala filem Tombiruo: Penunggu Rimba juga bersaing dalam kategori Sinematografi Terbaik.

Bagi senarai filem yang bertanding kali ini, filem One Two Jaga dan Mencari Rahmat mendominasi pencalonan pendek.

TAHNIAH Filem #Dukun , #BisikPadaLangit , #Tombiruo & #HantuKakLimah di atas Pencalonan dalam Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2018!!! Semoga Berjaya semua?!!!

A post shared by Infinitus Films MY (@infinitusfilmsmy) on


Dalam senarai calon yang dinyatakan menerusi laman blog Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur itu menyaksikan 11 filem terpilih untuk bertanding.

Filem One Two Jaga arahan Namron tercalon untuk kategori Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Rosdeen Suboh manakala Ario Bayu dan Azman Hassan bersaing untuk anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Begitu juga, filem ini dipertandingkan untuk kategori Sinematografi Terbaik (Helmi Yusof) dan Lakon Layar Terbaik (Ayam Fared, Pitt Haniff, Nam Ron, Amri Rohayat dan Muhammad Syafiq).

Bagi filem Mencari Rahmat arahan Al Jafree Md Yusop turut meraih senarai pencalonan yang sama termasuk pelakon utamanya, Ameerul Affendi bertanding kategori Pelakon Lelaki Terbaik dan kategori wanita disandarkan pada Nadia Aqilah.

Mengikut laporan kutipan fiem tempatan dari laman sesawang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) menyatakan One Two Jaga hanya meraih kutipan jualan tiket sebanyak RM343,279.19.

Meskipun acara ini mempunyai standard tersendiri tanpa dibandingkan acara anugerah berprestij lain seperti Festival Filem Malaysia (FFM) tetapi ia menjadi platform pengiktirafan pada penggiat seni khususnya pembikin filem yang sudah menghasilkan karya seni mereka.

Penganjur juga menyatakan penerima anugerah berkenaan mengikut kategori masing-masing akan dimaklumkan pada awal November ini.

"Setakat ini, kami mendapati terdapat sekurang-kurangnya 61 filem yang melalui skim wajib tayang dan telah ditayangkan pada bulan September 2017 hingga Ogos 2018. Semuanya melalui pertimbangan dan penelitian khusus," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi