Filem PASKAL The Movie bukan sahaja menarik minat penonton di Malaysia sehingga berjaya mengutip RM22 juta dalam 18 hari tayangan malah ia turut mengundang minat kerabat diraja untuk sama menonton.

Seminggu sebelum tayangan, DYMM Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah hadir bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin bagi menyaksikan filem ini secara eksklusif.

Turut hadir pada majlis itu ialah DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Ia disusuli dengan kehadiran Adinda kepada Yang Dipertuan Agong Tengku Muhammad Faiz Petra ibni Sultan Ismail Petra, Yang Maha Mulia Pemangku Sultan Kelantan menghadiri majlis tertutup untuk menyaksikan filem arahan Adrian Teh ini.

Majlis itu diturut dihadiri oleh beberapa pelakon terdiri daripada Hairul Azreen, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Theeban G, Gambit Saifullah, Henly Hii, Jasmin Suraya dan Taufiq Hanafi.


Tenaga produksi juga amat berbesar hati apabila Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Raja Permaisuri Besar Negeri Sembilan Tengku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud juga telah menonton filem ini apabila baginda menghadiri tayangan eksklusif bersama para pelakon dan pengarah di GSC, The Gardens baru-baru ini.


Terbaru, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berangkat ke tayangan khas PASKAL The Movie di sebuah pusat beli belah di ibu negara pada Sabtu lalu.

"Sangat menarik. Harap selepas ini ada Paskal 2. Beta amat menyukainya," titah baginda.

Sultan Nazrin Shah kemudian berkenan beramah mesra bersama barisan pelakon dan pengarah filem Adrian Teh.

Filem PASKAL The Movie yang diterbitkan oleh Asian Tropical Films, GSC, Multimedia Entertainment, Granatum Ventures dan Astro Shaw ini telah menjadi bualan hangat rakyat Malaysia.

PASKAL The Movie berkisarkan mengenai kisah kejayaan anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 dan misi merampas kapal dagang daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Diinspirasikan dari kisah benar, filem ini dibintangi oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Theeban G, Henley Hii, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.

Jom, dapatkan tiket anda sekarang dan sama-sama saksikan pertempuran PASKAL The Movie di medan pawagam!