Bintang Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Dia Fadila akui bangga apabila berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Seni Persembahan (Muzik) dari Pusat Kebudayaan Universiti Malaya sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya ke -58 di Dewan Tunku Canselor, semalam.
Pemilik nama sebenar Nur Fardilla Nadia Abu Bakar, 34, berkata selama empat tahun pengajiannya itu dia terpaksa menempuh pelbagai cabaran kerana dalam masa yang sama memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada dua orang anak.
“Jika hendak dikenang kembali memang rasa nak menangis kerana saya hampir putus asa.
“Bayangkanlah selama pengajian itu saya hamil anak kedua dan berpantang ketika cuti semestar.
“Kemudian sambung balik pengajian dan ambil cuti lagi kerana terikat dengan teatar di luar dan menjadi tenaga pengajar untuk sebuah program realiti TV.
“Tapi Alhamdulilah, saya bersyukur sangat kerana segala penat lelah selama empat tahun pengajian ini sangat berbaloi,” katanya kepada Gempak ketika dihubungi.
Dia merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.
Bagaimanapun Dia bersyukur kerana suaminya, Redza Abdullah Sanusi amat memahami dan menyokong keinginannya untuk sambung belajar.
“Saya harus berterima kasih kepada suami kerana banyak menyokong saya selama pengajian ini.
“Suami dan ibu saya banyak tolong jaga anak sementara saya ke perpuskataan untuk buat kajian kertas kerja saya,” katanya lagi.
Pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Qaseh Dhiya, 7 dan Chinta Qadisa, 4 tahun.
Bersiaran selama lapan minggu, GV5 boleh ditayangkankan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.

Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.