Dua hari berlangsungnya Toyota Gazoo Racing (TGR) di MAEPS, Serdang, membuktikan Aiman Tino bukan calang-calang pelumba. Dalam kategori Promotional, yang melibatkan selebriti-selebriti lain seperti Datin Diana Danielle, Akim Ahmad, Nabil Ahmad, Khai Bahar, Janna Nick, Wany Hasrita dan Nabila Razali, Aiman Tino membuktikan dia sememangnya kecil-kecil cili padi.



Malah, teman-teman selebriti menggelarkan beliau sebagai Speedy Gonzales kerana kepantasan beliau memotong dan menyelinap ketika perlumbaan.



Pada perlumbaan pertama, pusingan kedua di MAEPS, beliau menduduki tempat ketiga di belakang Nabil Ahmad dan Diana Danielle. Setelah menaiki podium pada hari pertama, Aiman Tino memulakan perlumbaan di grid yang ketiga pada perlumbaan kedua di hari yang kedua.



“Seperti perlumbaan hari pertama, fokus saya adalah untuk bermula dengan baik. Memang pressure apabila Akim dan Nabil mengejar tetapi saya bertenang dan berjaya menjarakkan diri daripada mereka,” kata Aiman.



Di perlumbaan kedua, Aiman Tino berjaya menaiki podium di tempat pertama, manakala tempat kedua dimiliki oleh Akim Ahmad dan ketiga pula milik Diana Danielle.



Berdasarkan kepada dua perlumbaan di mana Aiman Tino menduduki podium tempat ketiga pada hari pertama dan podium tempat pertama pada hari kedua, bermakna untuk pusingan kedua Toyota Gazoo Racing kategori Promotional ini menjadi milik Aiman Tino sebagai juara.



Pusingan ketiga Festival Toyota Gazoo Racing bakal berlangsung di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, pada Februari 2019.