Mempunyai jadual seni yang padat sepanjang bulan puasa, pelakon baru Ruhainies tidak lupa untuk mencuri masa bagi melakukan kerja-kerja amal sempena kedatangan bulan Ramadan.

Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 24, teruja untuk merasai pengalaman berpuasa sebagai seorang selebriti.

“Perbezaannya memang bakal dirasakan. Jika pada tahun-tahun sebelum ini, dalam seminggu, pastinya saya meluangkan masa sekurang-kurangnya dua atau tiga kali solat terawih di masjid, tahun ini nyata berbeza kerana jadual kerja saya penuh.

“Namun begitu, walaupun sibuk dengan tugasan, saya akan cuba juga untuk mencuri masa bagi menunaikan solat terawih walaupun sibuk di set penggambaran. Jika ada harinya penggambaran habis awal, saya pastinya akan merebut peluang tersebut,” kata Ruhainies kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Ruhainies juga bakal menyertai program amal bersama selebriti lain dalam membantu gelandangan dan golongan yang kurang bernasib baik.

“Saya dan kelab peminat saya, Ruhainies Heart Fans bakal menyertai program amal bersama selebriti dan kelab peminat lain. Kami bakal menyertai program yang melibatkan golongan yang kurang berkemampuan seperti gelandangan dan sebagainya.

“Kedatangan bulan yang mulia ini bukan sahaja bertujuan untuk kita menahan lapar dan dahaga, tetapi kita juga perlu mensyukuri nikmat yang ada. Kita juga harus mengambil peluang untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang kurang bernasib baik,” katanya mengakhiri perbualan.