Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 7, Isma atau nama sebenarnya Ismaliza Ismail, 38, mengakui kehidupannya lebih tenang selepas bercerai dengan komposer dan penyanyi Zul 2 By 2.

Mempunyai lima orang anak hasil perkahwinan selama 19 tahun, Isma dan Zul berpisah semenjak awal tahun ini.

"Alhamdulillah, pada awalnya, suasana yang saya rasakan sedikit berlainan kerana saya sudah 19 tahun bergelar isteri.. Tapi, semuanya dipermudahkan dan saya rasa lebih tenang.

"Semenjak memegang status ibu tunggal, saya bekerja dengan lebih keras kerana anak-anak tinggal dengan saya. Selepas bercerai, saya keluar rumah dan menyewa bersama anak-anak.

"Biarpun kadangkala tawaran untuk mengadakan persembahan pentas itu kadang-kadang tidak menyebelahi saya, tetapi rezeki itu tetap ada," kata Isma.

Mengakui anak-anak menjadi kekuatan untuk dirinya meneruskan hidup, Isma enggan menoleh ke belakang dan mahu bekerja dengan lebih kuat.

"Anak-anak memang penguat saya. Kadang-kadang mereka faham dengan keadaan ibu mereka yang berusaha keras mencari rezeki. Saya juga sangat bersyukur kerana segala urusan saya dipermudahkan.

"Saya aktif menyanyi di Restoran D'Empangan Udang Galah Putrajaya milik Datin Ina dan jika ada rezeki, saya dipanggil untuk mengadakan persembahan pentas di luar.

"Bukan mudah untuk hidup senang tetapi sebagai ibu, saya tetap akan berusaha keras menyediakan semua kelengkapan anak kerana mereka keutamaan saya," katanya lagi.

Isma yang juga merupakan kakak kepada penyanyi Tomok berkahwin dengan Zul pada 16 April 1998.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan lima cahaya mata iaitu Muhammad Haiqal Aiman, 20, Muhammad Haiqal Aydiel, 19, Seri Aida Merlissa, 17, Seri Ayreen Merlynda, 15, dan Seri Adryana Mercella, 11.