Penyanyi baru yang popular menerusi lagu Amalina, Santesh bakal melancarkan single terbaru berjudul Mymuna tidak lama lagi.

Menurut Santesh, single tersebut merupakan sambungan kepada penceritaan di dalam lagu Amalina.

"Saya akui berasa terkejut dengan penerimaan yang begitu baik dari pendengar terhadap single Amalina.

"Sekarang saya sedang membuat persiapan untuk melancarkan single terbaru yang merupakan sambungan kepada penceritaan di dalam lagu Amalina.

"Single terbaru itu diberi judul Mymuna dan saya masih mengekalkan genre muzik yang sama seperti lagu Amalina iatu Pop Rock," ujarnya.

Santesh berkata demikian ketika ditemui di Sidang Media Konsert Suara Anak Malaysia bertempat di Biro Pelancongan Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Konsert ini akan berlangsung pada Sabtu, 20 Oktober ini bertempat di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana Kuala Lumpur bermula jam 8.30 malam.

Selain Santesh, konsert ini bakal menampilkan persembahan dari Datuk David Arumugam, Francisca Peter, Siti Nordiana, Syafiq Farhain, Bagio Damasutra, Yabang Khalifah dan Suki Low.

Kemasukan adalah percuma, untuk maklumat lanjut, sila hubungi Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) di talian 03-41055442 atau menerusi email [email protected].