Pelawak kumpulan Bocey mengakui penyertaan mereka dalam Maharaja Lawak Mega (MLM) bukan untuk menutup peluang buat pelawak-pelawak baru menyerlah.

Menurut Abam, penyertaan Bocey pada MLM kali ini adalah untuk mengasah bakat serta idea mereka bagi bersaing dengan pelawak baru dan senior.

"Kami tiada niat mahu menutup periuk nasi sesiapa pun kerana semua ini bergantung kepada rezeki yang telah ditentukan.

"Mungkin dengan adanya pelawak baru ini akan membuatkan kami lebih berhati-hati kerana idea yang diketengahkan begitu segar.

"Ini merupakan cabaran bagi kami untuk mencari idea-idea lebih segar agar orang tidak bosan dengan lawak yang diketengahkan oleh Bocey.

"Dengan adanya kami mungkin mereka akan melakukan yang terbaik untuk bersaing dengan kelompok pelawak senior," katanya kepada Gempak.

Abam berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media Maharaja Lawak Mega 2018, di Palace Of The Golden Horses, pada Selasa.

Selain Bocey, MLM 2018 turut disertai oleh Abata, Joras, Kiut, Masin, Abioso, Zero, Chilok, Dany Beler, Hilmy Ashley, Taman, Shiro, Puteh dan 2B.

MLM 2018 akan bersiaran bermula 2 November ini pada pukul 10 malam menerusi Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124), Astro GO dan ‘On demand’.