Astro sekali lagi meletakkan nama Malaysia di pentas dunia apabila merangkul 21 anugerah dari 49 kategori secara keseluruhan di majlis penganugerahan berprestij peringkat Asia, 'Asian Academy Creative Awards' (AAA).

Kemenangan tersebut telah diumumkan di pameran dan pasaran kandungan & kreatif global terbesar dunia, MIPCOM, di Cannes, Perancis pada Isnin, 15 Oktober 2018.

Siri mini Nusantara premium eksklusif ‘Astro’s Original Series’ berjudul DO[S]A yang menggandingkan tiga buah negara, Malaysia, Indonesia dan Singapura, berjaya membawa pulang 3 anugerah utama; ‘Sinematografi Terbaik (Yadi Sugandi)’, ‘Suntingan Terbaik (Andhy Pulung)’ dan ‘Pelakon Pembantu Lelaki Rerbaik (Remy Ishak)’. Dalam pada itu, saluran berita 24 jam nombor satu Malaysia, Astro AWANI diumum sebagai pemenang dalam dua kategori, ‘Program Berita Terbaik (Malaysia Memilih - 9 & 10 Mei)’ dan ‘Penyampai Berita Terbaik (Kamarul Bahrin Haron)’.

Filem televisyen eksklusif (FTV) Astro Citra, ‘Luar Biasa’, yang diinspirasikan dari kisah benar pemenang pingat emas Paralimpik, Mohamad Ridzuan Puzi @ Dek Wan diumum sebagai pemenang bagi kategori ‘Pelakon Layar Terbaik’ (Anwar Idris).

Pengacara, pelakon dan pengarah versatil, Nabil Ahmad, dinobat sebagai ‘Penyampai / Hos Terbaik’ menerusi program Gegar Vaganza Musim 4. ‘Meja Bulat Sepahtu’ yang menampilkan kumpulan komedi tersohor negara, Sepahtu, membawa pulang anugerah bagi kategori ‘Program Hiburan Terbaik’ (Astro Prima).

Menerusi kemenangan yang dilakarkan ini, Astro akan mewakili Malaysia di kategori-kategori yang dipertandingkan, menentang barisan pemenang dari 15 buah negara lain bagi merebut trofi emas AAA di Malam Anugerah Gala Akhir yang akan diadakan di Singapura pada 6 dan 7 Disember 2018 kelak.

‘Asian Academy Creative Awards’ diperkenalkan untuk memberi pengiktirafan dan meraikan kejayaan mereka yang terlibat secara langsung dalam industri kreatif terutamanya di segmen kandungan dan produksi media. ‘AAA’ meraikan kecemerlangan dari aspek teknikal merentasi platform yang pelbagai, dari televisyen ke digital, penstriman muzik / video di atas talian (online) dan mengiktiraf evolusi teknologi yang kian pesat berlangsung di seluruh dunia.

Berikut merupakan senarai anugerah yang dimenangi Astro di kategori-kategori yang dipertandingkan di ‘Asian Academy Creative Awards’:

Promo atau Trailer Terbaik
‘Vallavar 2017’ oleh Astro Production

Lagu Tema Terbaik
‘Symphony of Love’ oleh Astro

Rancangan Kandungan Pendek Terbaik
‘May I Love You’ oleh MEASAT Broadcast Network Systems bagi Xuan

Program Gaya Hidup Terbaik
‘Hadith Open Mic (Musim 2)’ oleh Astro

Penyampai Berita Terbaik
‘Kamarul Bahrin Haron’ – Malaysia Memilih oleh Astro Awani

Laporan Berita Tunggal Terbaik
‘Penang Flood’ oleh MEASAT Broadcast Network Systems bagi 热点 Hotspot

Program Berita Terbaik
‘Malaysia Memilih (9 & 10 Mei)’ oleh Astro Awani

Siri Dokumentari Terbaik
‘Pray For – The Black and White Deity 大二爷伯信仰’ oleh Astro AEC

Program Dokumentari Terbaik (One-Off / Special)
‘The Black Hawk Down: Wira Keamanan’ oleh Astro Prima

Lakon Layar Terbaik
‘Anwar Idris – Luar Biasa’ oleh Astro Citra

Suntingan Terbaik
‘Andhy Pulung – Do[s]a’ oleh Astro

Sinematografi Terbaik
‘Yadi Sugandi – Do[s]a’ oleh Astro

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
‘Yoke Chen – Where Got Money?’ oleh Astro AEC

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
‘Remy Ishak – Do[s]a’ oleh Astro

Program Hiburan Terbaik
‘Meja Bulat Sepahtu’ oleh Astro Prima

Penyampai / Hos Hiburan Terbaik
‘Nabil Ahmad – Gegar Vaganza (Musim 4)’ oleh Astro Ria

Pelakon Komedi Terbaik
‘Estee Tan Hsiao-Ling – Hua Hee Seko-lah S4’ oleh Astro Hua Hee Dai

Program Komedi Terbaik
‘Hua Hee Seko-lah S4’ oleh Astro Hua Hee Dai

Program Muzik / Tarian Terbaik
‘Hua Hee Champion 2017 Grand Final’ oleh Astro Hua Hee Dai

Program Kuiz Terbaik
‘Smart Wheel’ oleh Astro Production

Hiburan Terbaik (One-Off / Tahunan)
‘CNY Countdown Show 2018’ oleh Astro