Pelakon Ben Amir mengakui dirinya masih berkawan dengan aktres Uqasha Senrose.

Pernah didakwa menjalin hubungan cinta kerana kerap memuat naik foto bersama satu ketika dahulu, Ben menafikan perkara terbabit.

"Ya, kami memang mengenali tapi hanya sekadar teman sahaja. Kami pernah melalui proses mengenali hati budi.. Selepas itu, kami rasakan lebih sesuai jika kami hanya bersahabat sahaja.

"Ketika isu ini timbul dulu pun, saya dan Uqasha tak pernah cakap yang kami bercinta, hanya sekadar rapat dan mengenali hati budi masing-masing sahaja," kata Ben.

Tambah jejaka tinggi lampai ini, dia masih berkawan dengan Uqasha dan tidak mempunyai sebarang masalah dengan gadis itu.

"Uqasha seorang rakan yang baik dan saya masih berkawan dengannya. Tiada istilah bergaduh atau bermasam muka kerana kami memang berkawan," katanya lagi.

Ben ditemui di set penggambaran webseries Dua di Seksyen 7, Shah Alam pada Isnin.

Menerusi drama bersiri arahan Michael Ang ini, Ben memegang watak sebagai Daniel.

Selain Ben, webseries ini turut menampilkan Sweet Qismina, Sarifah Sakinah dan Scha Alyahya.

Drama bersiri Dua ini bakal ditayangkan di Gempak pada awal November ini.