Dua pelakon berpengalaman iaitu Namron dan Bront Palarae antara anak seni yang mempunyai bakat besar untuk menghasilkan lebih banyak karya bermutu untuk dipertontonkan ke peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, persepsi mereka terhadap naskhah yang dianggap mempunyai nilai seni mahupun komersial yang tinggi menjadi suatu topik yang menarik untuk dikupas menerusi aktiviti perbincangan.

Bagi kedua peminat ini, mereka bakal muncul dalam satu acara iaitu Wacana Filem yang dianjurkan menerusi Minggu KaryaONE 21 tidak lama lagi.

Membawa judul perbincangan iaitu 'Mendekati Sinema Realisme: Alam Malaysia', kedua selebriti popular ini dijemput untuk berkongsi pandangan dan membincangkan pelbagai isu membabitkan industri perfileman tempatan.

Filem One Two Jaga arahan Namron yang ditayangkan di pawagam sebelum ini dilabel sebagai filem yang membawa erti merdeka sebenar. (Baca lagi: Filem One Two Jaga Bawa Erti Merdeka Sebenar Pada Karyawan Filem)

Dekan Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Profesor Dr A Razak Mohaideen menyatakan acara Wacana Filem yang akan diadakan pada 5 Disember nanti adalah sebahagian daripada agenda dalam program tahunan Minggu KaryaONE yang dianjurkan sejak tahun 2010.

"Kami menjangkakan sambutan terhadap program Minggu KaryaOne 21 lebih besar dan meriah apatah lagi dibandingkan jumlah pelajar di FiTA pada tahun lalu seramai 1,700 tapi kini mencecah 2,300 pelajar.

"Dianggarkan antara 10,000 sehingga 20,000 pengunjung termasuk daripada pelbagai universiti, kolej dan sekolah hadir memeriahkan acara ini," katanya kepada Astro Gempak.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Twitter @_Nam_Ron_ & IG @bront_palarae