Pendatang baru, Tasha Mashahar meluahkan rasa syukur apabila impian untuk bergelar guru tercapai dan menganggap ia rezeki di bulan Ramadan.

Tasha Manshahar ketika dihubungi Astro Gempak berkata, perasaan gembira dan teruja untuk bergelar guru Bahasa Inggeris di sebuah Sekolah Rendah di Melaka bermula Isnin depan.

“Alhamdulillah, rezeki saya di bulan Ramadan. Dari awal lagi selepas tamat kursus saya tidak kisah di tempatkan di mana-mana pun.

“Selepas tahu saya bakal mengajar di Melaka, saya sendiri tidak sangka kerana tempat saya mengajar itu tidaklah jauh mana dengan rumah ibu dan bapa saya di Kajang.

“Bagi saya, di mana-mana sahaja saya ditempatkan itu adalah rezeki. Mengajar adalah tanggungjawab saya sebagai guru. Di mana sekalipun, saya tetap perlu mengajar,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambah penyanyi muda yang sedang hangat mencipta nama dengan lagu Ragu-ragu dan Cuba Teka ini, Ramadan kali ini amat bermakna kepada dirinya kerana bakal berpuasa sebagai seorang guru selain dilantik sebagai duta sulung produk kesihatan, Himalaya.

“Tahun ini kali pertama saya berpuasa sebagai seorang pendidik dan kali pertama juga berjauhan dengan keluarga. Tidak pernah saya berpuasa seorang diri, tetapi tidak mengapa saya pasti akan dapat menyesuaikan diri berpuasa dan berbuka bersama teman-teman di Melaka nanti,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai pelantikannya sebagai duta sulung produk kesihatan dan kecantikan Himalaya, Tasha berkata dia sangat berbesar hati kerana telah diberi kepercayaan itu.

“Saya amat berbesar hati dipilih sebagai wajah jenama Himalaya kerana ia sememangnya saya seorang yang menggemari produk berasaskan bahan semula jadi. Selain itu, saya juga adalah pengguna setia produk ini,” katanya.

Tasha juga akan mempromiskan kempen #IStartMyDayWithHimalaya dengan road show di beberapa bandar utama di seluruh negara bersama empat bintang media sosial terkenal iaitu Pipi Razi, Nina Khalil, Jaharee dan Deeba Halil.

Kempen ini disasarkan kepada golongan muda untuk lebih mempercayai produk berasaskan herba atau bahan semula jadi. Selain menjaga dan merawat, produk keluaran Himalaya mampu memberi persepsi positif dalam gaya hidup generasi muda masa kini.