Daripada penyanyi yang meledak daripada platform media sosial dan masuk ke program realiti nyanyian Big Stage, Tajul akui hidupnya berubah.

Kata Tajul atau nama sebenarnya Tajul Ariff Noor Md Shari, 20, Big Stage memberikan keyakinan lebih tinggi untuk berdepan khalayak ramai.

"Tajul masih orang yang sama cuma perubahan selepas Big Stage amat bagus.

"Saya jadi lebih yakin apabila berdepan dengan orang ramai dan selesa untuk membuat persembahan di pentas lebih besar berbanding sebelum ini," katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, Tajul akui komen dan kritikan juri ketika Big Stage tidak menjejaskan reputasinya sebagai penyanyi.

"Itu perkara biasa bagi saya, program realiti memang patut orang komen tentang kekurangan kita.

"Ia tidak menjejaskan apa-apa pun, orang akan faham sebab saya pun bermula daripada kosong.

"Selama ini tidak pernah saya masuk kelas vokal apatah lagi tarian.

"Jadi, saya sendiri dapat tahu kelemahan dan kekurangan diri sendiri sejak menyertai Big Stage," jelasnya.

Big Stage yang baru melabuhkan tirainya hampir sebulan lalu menyaksikan Sarah Suhairi dijulang sebagai juara.

Manakala, Tajul terpaksa akur apabila hanya berjaya sampai minggu kelima.