Penyanyi Wany Hasrita mengakui mempunyai rancangan untuk membawa peminat setianya untuk meluangkan masa bersama di Zoo Negara sempena meraikan kemenangannya di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-31 (ABPBH31).

Menurut Wany, perkara itu dilakukan bagi menghargai sumbangan peminatnya yang sentiasa menyokong kerjaya seninya sejak dulu lagi.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana mempunyai peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seni saya sejak dulu lagi.

"Anugerah ini sebenarnya untuk mereka dan sebagai membalas jasa mungkin saya akan membawa mereka pergi ke Zoo Negara untuk meraikan kejayaan ini bersama-sama.

"Dalam masa yang sama saya juga mahu mengadakan majlis doa selamat dengan anak-anak yatim selepas ini.

"Siapalah saya kalau tanpa peminat jadi apa yang dilakukan ini adalah untuk menghargai jasa dan pengorbanan mereka buat saya," kata kepada Gempak.

Wany berkata demikian ketika ditemui pada majlis Anugerah Bintang Popular BH ke-31 (ABPBH 31), di PICC Putrajaya, baru-baru ini.

Pada malam tersebut Wany telah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular dengan mendapat undian sebanyak 2,052,997.

Kemenangan itu melayakkan Wany membawa pulang ganjaran kereta Citroen C4 Picasso berharga RM126,000 berserta trofi.

Selain dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, Wany turut meraih trofi Penyanyi Wanita Popular.