Pelakon Lisa Surihani mengakui dia berpuas hati selepas menonton filem PASKAL The Movie.

Menurut Lisa, dia gembira apabila filem tersebut dapat diterima penonton serta mendapat respon yang positif.

"Disebabkan terlampau teruja untuk berkongsi perasaan selepas menonton 'preview' filem itu, saya sanggup mesej Hanis Zalikha pada awal pagi.

"Saya berasa gembira dan berpuas hati kerana filem ini berjaya mendapat respon yang positif daripada penonton.

Lisa ditemui ketika rakaman program Naura Shares di ISTAC IIUM Bukit Tunku baru-baru ini.

Tambah isteri kepada pengarah filem, Yusry Abdul Halim berkata filem mengenai PASKAL ini sangat jarang boleh ditonton di negara kita.

"Apabila filem ini diterima, secara tidak langsung dapat membuka fikiran pembikinan filem untuk menghasilkan satu karya di luar kotak.

"Secara jujurnya, saya berasa terharu dan bangga dengan kembar saya, Hairul Azreen kerana dia telah melakukan yang terbaik dalam filem PASKAL The Movie," katanya kepada Gempak.

Menerusi filem ini, Hairul memegang watak sebagai seorang anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia bernama Arman.

Dalam pada itu, filem PASKAL The Movie telah meraih kutipan sebanyak RM16 juta dalam 10 hari tayangan.

Filem arahan Adrian Teh ini diterbitkan oleh Asian Tropical Films, GSC, Multimedia Entertainment, Granatum Ventures dan Astro Shaw ini mendapat perhatian ramai pihak.

PASKAL The Movie berkisarkan mengenai kisah kejayaan anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 dan misi merampas kapal dagang daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Diinspirasikan dari kisah benar, filem ini dibintangi oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Theeban G, Henley Hii, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.

Jom, dapatkan tiket anda sekarang dan sama-sama saksikan pertempuran PASKAL The Movie di medan pawagam!