Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) amat terkilan dan menganggap kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang usahawan kosmetik baru-baru ini tidak sesuai apabila menggelar penyanyi lama yang memasuki program Gegar Vaganza sebagai artis ‘sendu’.

Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez berkata usahawan kosmetik tersebut seharusnya sedar diri bahawa penyanyi serta program seperti Gegar Vaganza ini juga yang membantu menaikkan jenama dan produknya sehingga dikenali ramai.

"Tidak dinafikan, pengusaha dan jutawan kosmetik memang diperlukan oleh Industri seni kita bagi memberi sokongan modal melalui penganjuran acara ataupun rancangan.

“Namun bukan bermakna mereka boleh melakukan apa saja atau mengeluarkan kata-kata yang bersifat merendahkan martabat artis sebagaimana yang didakwa seorang usahawan kosmetik baru-baru ini.

“Mereka harus ingat dengan penajaannya didalam beberapa program TV inilah yang telah menaikkan produk jualannya dimata masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan kepada Gempak.

Freddie berharap agar isu ini dapat diselesaikan secara musyawarah dan muhibbah diantara mereka berdua serta bersedia menjadi pihak tengah seandainya diperlukan.

"Pada kami kedua-dua individu yang sedang berkonflik ini telah mempunyai legasi yang tersendiri.

“Dengan demikian kami beranggapan alangkah indahnya jika isu yang timbul dapat diselesaikan secara kekeluargaan demi mengelakkan dari terkeluarnya pelbagai kenyataan kontroversi yang tidak bersesuaian dan beremosi yang akhirnya akan mengguris hati pelbagai pihak, sekaligus memberi impak negatif kepada diri masing-masing,” katanya lagi.