Penyanyi remaja dan bintang program Big Stage, Wani Kayrie, 18 berkongsi beberapa persediaan akhir sebelum menyertai pertandingan Liga Dangdut Asia di Indonesia pada pertengahan bulan ini.

Menurut Wani, dia banyak membuat rujukan dengan menonton video program tersebut untuk mempelajari pelbagai perkara.

"Selain daripada berlatih menyanyi, saya juga banyak membuat rujukan dengan menonton video program tersebut untuk mempelajari aspek yang dimahukan oleh juri-juri di sana.

"Saya berharap agar dapat lakukan yang terbaik kerana sejak kecil saya memang bercita-cita mahu menyanyi di Indonesia, saya tidak mahu mensia-siakan peluang ini," ujarnya.

Wani berkata demikian ketika ditemui di acara Gempak Movie Night Out tayangan filem Venom bertempat di GSC Quill City Mall pada malam tadi.

Wani telah memenangi tempat keempat di konsert akhir pertandingan Big Stage yang turut menampilkan Sarah Suhairi, Syafiq Farhain, Afieq Shazwan dan Baby Shima sebagai finalis.