Penyanyi Tajul Ariff menyifatkan kemenangan besar rakan duetnya, Wany Hasrita pada ABPBH31 baru-baru ini memang tepat.

Kata Tajul, selaku rakan artis di bawah bumbung syarikat rakaman yang sama, Wany membuktikan popularitinya setanding dengan usaha dan kerja penatnya sepanjang bergelar artis.

"Tak sangka dia menang besar dalam ABPBH31 dan rezeki dia tahun ini.

"Saya pun sebagai rakan duet dia rasa bangga atas pencapaian sepanjang tahun ini.

"Soal orang mempertikaikan kemenangan Wany, saya tidak boleh nak mengulas lanjut sebab mulut orang tak boleh tutup.

"Netizen ada pendapat masing-masing," katanya ketika ditemui pada Gempak Night Out: Venom di GSC Quill City Mall semalam.

Tambah Tajul lagi, sukar untuk menduga pemenang anugerah berdasarkan undian peminat.

"Anugerah itu berdasarkan undian seratus peratus, peminat yang rajin undi, artis itu akan menang.

"Bukan dinilai suara sedap atau tidak, tetapi kalau sudah tertulis itu rezeki dia. Kalau ramai minat dan undi dia, jadi layaklah dia menang," katanya yang bakal muncul dengan single duet terbaharu bersama Wany, Aku Serius tidak lama lagi.

Wany dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular dengan mendapat undian sebanyak 2,052,997.

Kemenangan itu melayakkan Wany membawa pulang ganjaran kereta Citroen C4 Picasso berharga RM126,000 berserta trofi.

Selain dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, Wany turut meraih trofi Penyanyi Wanita Popular.