Penyanyi Black Hanifah tidak kisah jika anaknya, Khaleef Dayyan, 3, mahu menceburi bidang seni namun ia harus seiring dengan pendidikan formal.

Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah, 31, berkata dia tetap memberi kebebasan kepada anaknya tetapi dalam masa yang sama memberi panduan yang betul.

“Apa yang saya lihat, dia nampak minat nak jadi artis terutama dalam bidang muzik dan tidak kekok setiap kali beraksi depan kamera. Jelas sekali, darah seni mengalir dalam tubuhnya.

“Saya akan menghantarnya ke kelas dram dan piano.

“Memang saya ikutkan saja apa yang dia minat tetapi tidaklah terlalu berlebih-lebihan kerana tak mahu dia pijak kepala saya pula.

“Jadi, apabila meningkat dewasa, dia perlu ikut pula apa kehendak saya contohnya, kalau minta dia untuk belajar dalam bidang undang-undang, dia kena turuti.

“Apa yang pasti, biarlah ilmu dalam dunia seni dan pendidikan formal bergerak seiring,” katanya.

Black dan anaknya itu bakal muncul dalam Oh My Family mulai 10 Oktober ini di Astro Ria (saluran 104), Ria HD (saluran 123) dan Astro Ceria (saluran 611) pada setiap Rabu jam 9 malam.