Pelakon Mustapha Kamal berkongsi berita mengenai pelawak veteran Acapan memeluk Islam di akaun Facebook miliknya.

Menerusi status terbarunya, Mustapha Kamal memuat naik beberapa keping foto Acapan berbaju melayu selain mendedahkan nama Islam yang bakal digunakan oleh pelawak tersebut.

“Alhamdulillah, Hidayah dari Allah SWT di bulan Ramadhan Al-Mubarak. Pelawak Acapan kini bergelar seorang Muslim. Nama Islam beliau Muhammad Ramadhan atau Sharin Muhammad,” tulisnya menerusi entri yang dimuatnaik tujuh jam yang lalu.

Selang empat jam kemudian, Mustapha Kamal memuat naik sebuah video dan meluahkan rasa terharunya selepas menonton tersebut.

“Ramadhan Kareem, Acapan dan Isma Alif. Abang Mus lebih rapat dgn Accapan banyak filem abang Mus berlakon bersama Acapan. Pernah dia datang masak kari kepala ikan di rumah abang Mus, sedap.

“Mengalir airmata abg mus bersama Hidayah Allah pada Acapan. Semoga diberikan ketabahan kepada saudara baru kita ini, amin,” katanya.

Bagaimanapun sehingga kini maklumat lengkap mengenai pengislaman Acapan masih belum diketahui dan tiada sebarang kenyataan rasmi dari pelawak veteran itu mengenai berita tersebut.

Kredit Foto dan Video: Facebook Mustapha Kamal