Bintang Big Stage, Afieq Shazwan dinasihatkan berehat sepanjang dua minggu selepas selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian belakang badannya minggu lalu.

Baca: Dimasukkan Ke Hospital, Afieq Shazwan Stabil

Menceritakan semula pengalaman menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu, dedah Afieq, 21, prosedur pertama kali dalam hidupnya itu membuatkannya kecut perut hingga mengalirkan air mata.

"Daripada kecil sampai besar tak pernah dimasukkan ke hospital, jadi apabila melibatkan pembedahan saya jadi takut.

"Selain terpaksa tolak banyak tawaran menyanyi dan terpaksa masuk ke bilik pembedahan, menangis juga saya dibuatnya.

"Pada mulanya doktor hanya mahu bius separuh badan, tetapi disebabkan saya terlalu gemuruh, saya tidak sedarkan diri selama sejam sepanjang pembedahan berjalan," katanya kepada Gempak.

Afieq yang ditemui pada Gempak Movie Night Out: Venom di GSC Quill City Mall semalam bernasib baik kerana tumor di bahagian kiri punggungnya tidak serius.

"Pada mulanya saya ada masalah untuk membuang air besar, memang segan untuk berjumpa doktor tapi mujurlah doktor yang merawat saya adalah kakak kepada cikgu saya.

"Malu tolak ke tepi. Tapi paling lucu apabila doktor itu ikuti perkembangan saya sepanjang di Big Stage.

"Kalau boleh saya mahu minta krim untuk kecutkan tumor itu, tetapi risau ia akan menjadi lebih buruk.

"Oleh kerana akar tumor itu tak terlampau sensitif dan boleh dibuang, doktor menasihatkan saya untuk membuat pembedahan," tambahnya.

Sepanjang beberapa minggu selepas pembedahan, Afieq dinasihatkan untuk tidak menyanyi, berlari, melompat dan bekerja di tengah-tengah panas.