Pelakon drama bersiri Dia Semanis Honey, Nadya Syahera akui pernah diserang secara mengejut ketika bersiar-siar di pusat membeli-belah Pavillion baru-baru ini.

Menurut pelakon berusia 23 tahun ini, kejadian tersebut berlaku ketika dia sedang menaiki eskalator bersama rakan-rakan sebelum namanya dipanggil sekumpulan wanita berusia 40-an dan dimarahi mereka.

“Saya tak sangka watak Bella dalam drama tersebut begitu memberi kesan sehingga saya dimarahi dan hampir ditampar ketika bersiar-siar di Pavillion.

“Ketika kejadian itu berlaku saya sedang menaiki eskalator bersama kawan-kawan, dan menoleh ke belakang selepas terdengar orang panggil nama Bella.

“Ada dalam tiga hingga empat orang wanita berusia dengan wajah yang begitu emosi yang kemudiannya memarahi saya.

“Dia beri amaran supaya jauhkan diri dan jangan kacau hidup Ahnaf (Alif Satar), kalau tak dia akan tampar saya.

“Saya terkejut dan tergamam dan sempat jelaskan pada dia yang itu hanyalah lakonan. Saya beritahu, itu Bella bukan Nadya.

“Rasa macam tak percaya watak jahat Bella itu berjaya memberi impak sedemikian. Tapi pada masa sama, rasa gembira juga kerana dari situ saya dapat tahu watak tersebut menjadi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran tudung Warisan Dayang bertempat di Hotel Shangri La, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun Nadya memberitahu dia tidak kisah untuk membawakan watak jahat kerana baginya yang penting adalah mutu lakonan.

“Ini kali kedua saya memegang watak jahat, yang pertama dulu adalah dalam drama Jodoh Sebelah Pintu di mana saya membawa watak sebagai wanita saiko.

“Sebenarnya saya tak kisah pun untuk bawa watak sebegini kerana bagi saya apa yang penting ialah mutu lakonan dan juga impak yang diberikan kepada penonton.

“Bila lakonan berjaya, saya rasa sangat puas hati. Rasanya lebih mudah untuk menjiwai watak jahat sebabnya bagi saya bila teringat sesuatu yang membuatkan kita geram dah boleh terjemahkan menerusi watak tersebut kan?

“Cumanya nak nampak jahat, saya perlu buat sedikit ulangkaji supaya tidak kelihatan terlalu ‘over’,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nadya bakal menjalani pengambaran untuk drama Dia Semanis Honey Raya Special tidak lama lagi.