Aktor Remy Ishak mengakui tidak mempunyai masalah untuk melakonkan babak romantik tanpa bersentuhan dengan pelakon Mira Filzah.

Menurut Remy, dia menganggap perkara itu cabaran bagi dirinya sebagai seorang pelakon untuk menghidupkan watak yang diberikan.

"Sebagai seorang pelakon saya harus membawakan setiap watak dengan berkesan walaupun mempunyai pelbagai cabaran.

"Dalam drama terbaharu lakonan saya bersama pelakon Mira Filzah, saya harus melakonkan babak romantik tanpa bersentuhan.

"Jadi itu merupakan cabaran bagi saya kerana sebelum ini kebanyakan babak membabitkan saya adalah bersentuhan.

"Namun perkara itu tidak menjadi halangan untuk saya membawakan watak ini dan paling penting, faktor syariah tidak membataskan kreativiti seseorang untuk berkarya.

"Perkara ini juga memberikan lebih banyak ruang untuk saya terokai dan mengasah lagi bakat lakonan," katanya kepada Gempak.

Remy berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana drama Lelaki Kiriman Tuhan, di Ombak Villa, Langkawi, baru-baru ini.

Selain Remy, drama bersiri Lelaki Kiriman Tuhan turut dibintangi oleh Mira Filzah, Harris Anuar, Rozita Che Wan, Faez Nik, Kartina Aziz, PU Azman, PU Riz, Jasmin Hamid, Maria Farida dan ramai lagi.

Turut diperkenalkan bintang baru Uyaina Arshad iaitu bekas pengacara Nona, Riana AF, Ali Redza, Hanis Nabeela dan Farah Safwan.

Drama Lelaki Kiriman Tuhan ini akan disiarkan setiap hari Isnin pada pukul 9malam menerusi saluran Astro Oasis (saluran 106) & Maya HD (saluran 135).